Sunday, 29 March 2015

Terbang Siri 3

BAHAGIAN TIGA (3) 
“Sejauh mana kau berkelana, ingatlah tentang diri dan asal usul” 

Penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke New Delhi pada malam itu mengambil masa lebih kurang enam jam. Dan ketika itu, pesawat baru sahaja berlepas meninggalkan ruang udara Kuala Lumpur yang sedikit hujan. Keadaan dalam pesawat sangat tenang, penuh dengan penumpang. Airell dan Qamarul duduk dengan tenang, diam tanpa berkata apa-apa sesama sendiri buat beberapa ketika. Masing-masing melayan perasaan, Qamarul sibuk menulis sesuatu di dalam journal peribadinya, kisah pengembaraan yang baru bermula. Itu adalah rutin dan tabiat Qamarul setiap kali keluar ke mana-mana. Ada saja benda yang akan dicatatkan di dalam buku hitam tersebut, yang hanya dia sorang boleh membacanya. 

Airell melihat keluar tingkap, gelap. Tidak ada satu pun cahaya kelihatan. Malam itu sungguh pekat, likat seperti air kopi tanpa gula yang sering menjadi minuman Z. Tiba-tiba nama itu keluar dalam kepalanya. Seorang lelaki yang dikenalinya beberapa bulan yang lalu di tepi bangunan, kesejukan dan kebasahan akibat hujan lebat di satu pagi yang sibuk. 

“Bro? Assalammualaikum? Bro?” Tangan Airell menggoyang-goyangkan bahu pemuda yang kebasahan terbaring di penjuru bangunan. Menggigil teruk badannya, sejuk dan kelihatan pucat. 

“Bro? Ok tak ni? Nak saya bawa pergi klinik?” Soal Airell lagi. Mata lelaki itu terbuka, kuyu. 

Lelaki itu memegang tangan Airell dan mulutnya seolah-oleh ingin mengatakan sesuatu. Terkumat kamit tanpa suara yang jelas. Digenggamnya lengan Airell dengan kuat supaya tidak lepas. Airell mula panik dan cuba melepaskan tangannya dari terus digenggam oleh lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu menangis, matanya berair dan dia kelihatan sangat tertekan. Timbul rasa simpati dalam diri Airell, namun dia masih keliru dan berjaga-jaga, seakan menyesal dengan tindakan awalnya ‘mengganggu’ lelaki tersebut. 

“Arghu...ghaaa..shaaaaa...it.” 

Entah apa perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu. Sebetulnya Airell melihat keadaan lelaki itu bukan seperti seorang peminta sedekah, pengemis atau homeless yang biasa dilihat di mana-mana. Pakaian lelaki itu kemas, berkemeja biru tua, dengan seluar slack hitam kelihatan seperti seorang yang berpelajaran. 

Iya matanya tidak menipu, memang lelaki itu bukan seperti pengemis-pengemis lain. Airell hanya memerhati lelaki itu yang cuba mengatakan sesuatu padanya. Timbul rasa kasihan. 

“Tolong....” 

Kali ini sebutannya jelas. Airell merapatkan diri kepada lelaki itu dan cuba mendengar butir-butir perkataan yang cuba dikeluarkan.

“Aku...ergh..laaa...par.” Aku lapar - ya itu yang didengar oleh Airell. Lelaki itu lapar, dia perlukan makanan untuk memulihkan tenaganya yang hilang. Entah kenapa lelaki itu di situ dan kenapa pula dia boleh jadi begitu, masih menjadi misteri. Airell bangun dan menarik lelaki itu untuk turut bangun. Dengan bersusah payah lelaki itu berpaut pada Airell dan berdiri di sebelahnya. Lelaki itu ternyata lebih tinggi daripada Airell, rambutnya yang tak terurus menutup wajahnya yang sebenar, comot dengan beberapa lebab di pipi dan hidung. Mungkin kesan dibelasah atau mungkin dia terjatuh? 

“Ah tak mungkin dia jatuh, aku yakin dia dibelasah oleh beberapa orang,” bisik hatinya. Dia memapah lelaki tu menuju ke arah kereta Mazda R6 berwarna merah yang diletakkan beberapa petak dari tempat itu. Perlahan-lahan lelaki itu berjalan dipimpin oleh Airell. Pintu kereta dibuka. 

Kelihatan beberapa orang peniaga di kaki lima memandang perilaku mereka berdua dengan penuh tanda tanya, namun tidak ada seorang pun yang datang bertanya apa yang berlaku. Mungkin takut? Panik? Atau memang sikap rakyat Malaysia yang penuh dengan kesimpulan dan keputusan dalam diri masing-masing yang menyebabkan Airell dan lelaki itu dibiarkan saja berlalu seperti tiada apa-apa yang berlaku. 

“Masuk.” 

Lelaki itu dipapah Airell, masuk ke dalam kereta. Bersusah payah dia membongkok dan masuk ke dalam. Airell menutup pintu dan segera berlari masuk ke tempat pemandu. 

“Ah babislah, apa yang aku buat sebenarnya ni?” 

“Kalau tiba-tiba mamat tu hulur pisau kat aku macamana?”

“Tapi, aku tengok dia betul-betul terdesak. Ah lantaklah. Apa nak jadi, aku tawakal je.” 

Airell masuk dan menghidupkan enjin keretanya, terus kereta itu meluncur laju meredah lopak-lopak air di jalanan. Hujan telah berhenti beberapa jam yang lalu, dan kini kesannya masih baru, basah di mana-mana. Jalanraya juga agak lengang, mungkin sebab waktu ini, manusia masih sibuk bekerja. 

“Aku bawa kau balik rumah aku. Kau kena bersihkan diri dulu. Nanti aku carikan makanan untuk kau,” Airell bersuara. Matanya masih tepat memandang ke hadapan, memandu dengan penuh debar. 

“Siallah, kenapa pulak aku nak bawa dia balik rumah?” 

“Kau tak takut ke, kalau mamat ni tiba-tiba rompak kau?” 

“Think positive Airell, orang tengah susah, kau wajib tolong!” 

Macam-macam suara bermain dalam kepala otak Airell ketika itu. Walau dia tahu tindakan dia itu adalah salah, terlalu percaya kepada orang yang tak dikenali, tapi ada tindakan luar kawalnya yang mengatasi segala cakap-cakap negatif di dalam otak dia. Lelaki itu senyap, tidur agaknya. Airell rasa sedikit selesa. Dia terus memandu menuju ke arah Bandar Kinrara, memikirkan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku terhadap diri dia dan lelaki misteri itu. 

** * 

Satu persatu pakaian lelaki itu ditanggalkan dan dicampakkan ke penjuru bilik air. Kini lelaki itu hanya berseluar dalam, duduk bersandar di dinding dengan keadaan yang sangat lemah. Airell mula membasahkan sehelai tuala muka dan mengelap tubuh badan lelaki itu perlahan-lahan. Ini memang kali pertama di buat begitu, bahkan dengan kawan baik sendiri pun belum tentu lagi. Muka lelaki itu dibersihkan berhati-hati. Bahagian-bahagian luka yang sudah kering dan membengkak menyukarkan Airell untuk membersihkan muka lelaki itu. Sesekali lelaki itu mengerang, sakit apabila lukanya tersentuh kain basah. 

“Sabar la, aku tau sakit. Tapi kau kena bersihkan badan kau dulu.” Airell mengomel sendiri. Tangannya terus mengelap seluruh inci tubuh lelaki itu. Setelah semuanya selesai, Airell membaringkan lelaki itu di katil. Airell ke dapur dan mencari sesuatu untuk diberikan kepada lelaki itu. 

“Pisang.” 

Dia mencapai pisang emas yang sudah hampir busuk, di atas meja. Itu saja makanan yang ada, lalu dia bergegas ke bilik. 

“Bro, nah makan dulu. Ini je yang aku ada, tak sempat nak singgah mana-mana tadi beli makanan, kau makan ni dulu. Sekejap lagi aku try cari makanan lain.” 

Pisang emas yang hampir lembik itu disuapkan ke mulut lelaki itu perlahan-lahan dan habis ditelan satu persatu. 

“Ok kau rest dulu.” Airell mencapai talifon bimbitnya dan mendail nombor seseorang. Lelaki itu kini seolah-olah telah hilang di dalam dunianya, tidur dengan nyenyak, tidak bergerak sedikitpun. 

“Hello? Que kau kat mana? Tolong aku cepat” 

“Apa hal Rell? Cemas semacam je kau ni? Relax dulu please.” Que di hujung talian sedikit cuak mendengar suara Airell yang agak cemas. 

“Kau datang rumah aku sekarang! Please now! I need your help.” 

“Oh ok, relax Rell, ok aku datang sekarang.” 

Talian diputuskan. Keadaan masih tenang, tiada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku setakat ini. Lelaki itu masih lena, dan Airell masih menunggu di luar bilik, menunggu kedatangan Qamarul untuk sama-sama mengheret kawan baiknya itu ke dalam masalah yang dia baru cipta

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment