Thursday 26 March 2020

Malam Dan Bintang-Bintang

"Kenapa kau datang balik? Bukankah kau yang campakkan aku jauh jauh dari hidup kau?"

Soalan yang sama bermain dalam fikiranku. Buntu, namun tak terkeluar dari ruang rongga kotak suara ku untuk dilontarkan kepadanya.

Permainan apakah ini? Lagi soalan yang sama berulang. Tidak pernah jemu berputar-putar bila tiba masa permainannya. 

Sakit! Tahu tak bahawa hati ini sakit melihat engkau? Sakit dan semakin sakit kerana engkau langsung tidak merasakannya. Perasaan itu bukan milik engkau, tapi aku. Hanya aku yang berdiri di hadapanmu, di kiri dan kananmu, di belakangmu. Namun engkau langsung tidak menoleh, mahupun menegur bayang-bayang ku.

"Selama aku hidup, selama itulah aku mempertahankan keutuhan istana di dalam hatiku. Selama itu jugalah aku membina benteng-benteng untuk memagari keindahan hatiku. Tapi sekelip mata sahaja kesemua pertahanan itu runtuh, bila kau yang mengetuknya!!! Kau sedar tak akan perkara itu?"

Aku melangkah sepi, memerhatikan manik-manik cahaya di permukaan tasik yang terbentang luas di hadapanku. Laluan yang sukar untuk ke seberang sana, andai tiada penghubung di antaranya.

Aku memerhatikan pelayaran bot-bot yang sarat dengan penumpang. Riuh suasana di dalamnya tidak sunyi seperti apa yang aku alami tika ini. 

Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa menyapu mukaku. Hati makin terusik. Aku tahu, aku bukan siapa-siapa. Aku tahu, bukan hak aku untuk memaksa hati dan perasaan mu untuk menerima aku seadanya. 

Aku sekadar boneka. Iya itu pasti.

Lantas aku terduduk di gigi air. Menyaksikan percikannya memukul-mukul batu di tebing. Seakan ianya sedang memukul-mukul jiwa dan sanubari ku. Pedih.

Satu demi satu manusia melintasiku. Tanpa sedikitpun menoleh, masing-masing dengan dunia sendiri. Bahagia, mungkin. Yang pasti bukan sepertiku, yang sedang sakit dilanda rindu.

"Aku rindu kau la bodoh!!! Kau tak faham ke? Atau kau sendiri buat-buat tak faham?"

Susah untuk aku menganggap kau tidak wujud. Dan aku tidak kuat untuk melenyapkan engkau dari pengetahuanku. Tidak sanggup sama sekali. Sebab engkau telah merompak, menyiksa dan memusnahkan jiwaku. Dan kau tidak mengembalikannya seperti sediakala. Jadi, bagaimana harus aku melupakannmu? 

Hari kian kelam. Malam menampakkan tompokkan bintang-bintang di langit. Begitulah ibarat hatiku yang berkecai, bertaburan sekitar alam. Susah untuk aku kutip semula dan cantumkannya menjadi sebuah hati yang baru, sebuah hati yang mempunyai jiwa yang tenang tanpa kehadiranmu.

Yang pastinya, andai dapat hati itu di cantumkan semula, ianya sudah tidak sama seperti yang dulu. Cacat, cela dab tidak bermaya.

Aku teruskan penantian ini. Sehingga malam kian larut, yang aku pasti tak mungkin kau akan tiba-tiba muncul di hadapanku. Menyambut tanganku dan memimpinku untuk pulang... Tidak mungkin. Walau hanya dalam mimpi...

Biarlah aku di sini seketika, mengira butiran bintang yang bertaburan itu, seolah mengira kepingan hati-hatiku yang berkecai separuh nyawa.

Hanya aku yang tahu, tetapi tidak kamu. Dan tak mungkin aku akan memberitahu perihal hatiku pada kamu, kerana itu sesuatu yang mustahil. Kerana kau tidak pernah menganggap aku istimewa di dalam hidupmu.

Biarkan malam ini terus larut. Aku akan tetap di sini, sehingga ada yang sudi memanggilku pulang. 

Atau... Aku akan terus sendiri.


Tamat.

No comments:

Post a Comment

Madah PuJanggel

Semua yang terlintas di fikiran, duluahkan di atas lembaran kata-kata bernama  Madah PuJanggel.  Walau tak sempurna, namun ianya cukup mengg...