Thursday 16 March 2023

Madah PuJanggel

Semua yang terlintas di fikiran, duluahkan di atas lembaran kata-kata bernama Madah PuJanggel. Walau tak sempurna, namun ianya cukup menggambarkan tentang:-
  • Apa yang aku rasa
  • Apa yang aku lihat
  • Apa yang aku dengar
  • Apa yang aku hidu, dan 
  • Apa yang aku fikirkan.


Hidup tidak sempurna, namun imaginasi itu mampu untuk membayangkan kesempurnaan sesebuah kehidupan.


REN.

Saturday 28 March 2020

Rasa Bahagia Itu Bila....

Rasa bahagia itu bila...

Kau tahu dia gembira
Kau sanggup berbuat apa saja untuknya
Kau seronok berada selalu dengannya
Kau terlalu risaukan kehidupannya
Kau tidak kisah bersusah payah hanya kerana dia
Dan sekilas dia tersenyum
Kau akan rasa kepuasannya...

Saat semua rasa itu datang,
Kau tahu yang kau punya rasa bahagia
Walau tidak memiliki dia.


Friday 27 March 2020

Kerana Corona

Kerana Kau, satu dunia merana.
Kerana Kau, hidup manusia tergendala.
Kerana Kau, ramai jasad kehilangan nyawa.
Kerana Kau, dunia terhenti seketika....
Walau Kau hadir sebagai musibah,
Namun Kau juga sebagai rahmat,
Untuk manusia beristigfar...
Dan merenung kehilafan mereka.
Sampai satu masa...
Kerana Kau Corona.

Covid19.

My Heart

Walau sekadar fiksi,
Namun rasa itu menggembirakan...
Kerana yang nyata belum tentu tiba.
Jadi, biarkan rasa ini melekat sampai bila-bila
Kerana dia sangat sempurna..
My heart...
I need one.

Rasa

Kalau dia ada...
KALAU

Thursday 26 March 2020

Malam Dan Bintang-Bintang

"Kenapa kau datang balik? Bukankah kau yang campakkan aku jauh jauh dari hidup kau?"

Soalan yang sama bermain dalam fikiranku. Buntu, namun tak terkeluar dari ruang rongga kotak suara ku untuk dilontarkan kepadanya.

Permainan apakah ini? Lagi soalan yang sama berulang. Tidak pernah jemu berputar-putar bila tiba masa permainannya. 

Sakit! Tahu tak bahawa hati ini sakit melihat engkau? Sakit dan semakin sakit kerana engkau langsung tidak merasakannya. Perasaan itu bukan milik engkau, tapi aku. Hanya aku yang berdiri di hadapanmu, di kiri dan kananmu, di belakangmu. Namun engkau langsung tidak menoleh, mahupun menegur bayang-bayang ku.

"Selama aku hidup, selama itulah aku mempertahankan keutuhan istana di dalam hatiku. Selama itu jugalah aku membina benteng-benteng untuk memagari keindahan hatiku. Tapi sekelip mata sahaja kesemua pertahanan itu runtuh, bila kau yang mengetuknya!!! Kau sedar tak akan perkara itu?"

Aku melangkah sepi, memerhatikan manik-manik cahaya di permukaan tasik yang terbentang luas di hadapanku. Laluan yang sukar untuk ke seberang sana, andai tiada penghubung di antaranya.

Aku memerhatikan pelayaran bot-bot yang sarat dengan penumpang. Riuh suasana di dalamnya tidak sunyi seperti apa yang aku alami tika ini. 

Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa menyapu mukaku. Hati makin terusik. Aku tahu, aku bukan siapa-siapa. Aku tahu, bukan hak aku untuk memaksa hati dan perasaan mu untuk menerima aku seadanya. 

Aku sekadar boneka. Iya itu pasti.

Lantas aku terduduk di gigi air. Menyaksikan percikannya memukul-mukul batu di tebing. Seakan ianya sedang memukul-mukul jiwa dan sanubari ku. Pedih.

Satu demi satu manusia melintasiku. Tanpa sedikitpun menoleh, masing-masing dengan dunia sendiri. Bahagia, mungkin. Yang pasti bukan sepertiku, yang sedang sakit dilanda rindu.

"Aku rindu kau la bodoh!!! Kau tak faham ke? Atau kau sendiri buat-buat tak faham?"

Susah untuk aku menganggap kau tidak wujud. Dan aku tidak kuat untuk melenyapkan engkau dari pengetahuanku. Tidak sanggup sama sekali. Sebab engkau telah merompak, menyiksa dan memusnahkan jiwaku. Dan kau tidak mengembalikannya seperti sediakala. Jadi, bagaimana harus aku melupakannmu? 

Hari kian kelam. Malam menampakkan tompokkan bintang-bintang di langit. Begitulah ibarat hatiku yang berkecai, bertaburan sekitar alam. Susah untuk aku kutip semula dan cantumkannya menjadi sebuah hati yang baru, sebuah hati yang mempunyai jiwa yang tenang tanpa kehadiranmu.

Yang pastinya, andai dapat hati itu di cantumkan semula, ianya sudah tidak sama seperti yang dulu. Cacat, cela dab tidak bermaya.

Aku teruskan penantian ini. Sehingga malam kian larut, yang aku pasti tak mungkin kau akan tiba-tiba muncul di hadapanku. Menyambut tanganku dan memimpinku untuk pulang... Tidak mungkin. Walau hanya dalam mimpi...

Biarlah aku di sini seketika, mengira butiran bintang yang bertaburan itu, seolah mengira kepingan hati-hatiku yang berkecai separuh nyawa.

Hanya aku yang tahu, tetapi tidak kamu. Dan tak mungkin aku akan memberitahu perihal hatiku pada kamu, kerana itu sesuatu yang mustahil. Kerana kau tidak pernah menganggap aku istimewa di dalam hidupmu.

Biarkan malam ini terus larut. Aku akan tetap di sini, sehingga ada yang sudi memanggilku pulang. 

Atau... Aku akan terus sendiri.


Tamat.

Kisah Cahaya Dan Bulan

Setelah sekian lama Bulan memerhatikan Cahaya, kadang-kadang mereka ada juga berinteraksi sesama mereka, tentang cerita biasa, tentang keinginan dan tentang persoalan yang sering diajukan oleh Cahaya di dalam ruangan hidupnya. Namun ianya masih biasa-biasa shaja, Bulan dengan bintang-bintangnya dan Cahaya dengan awan-gemawannya. Tiada apa yang luar biasa dan semuanya meneruskan kehiduapan yang sediaada begitu.

Sehingga muncullah Bintang (daripada ratusan bintang yang menjadi sahabat Bulan) yang telah mula menyatukan Cahaya dan Bulan di dalam ruangan yang sama. Dari situ, Bintang sering menghiburkan Bulan dan kadang-kadang Bintang juga memaksa Cahaya turut serta di dalam ruangan yang semakin besar untuk Bulan.

Bulan dan Bintang semakin rapat, tidak ada rahsia di antara mereka dan seringkali ruangan itu menjadi tempat untuk Bulan dan Bintang bermain. Namun makin hari semakin dekat Cahaya kepada Bulan. Cahaya semakin menyedari kewujudan bulan yang sedari dulu memujanya, sedari dulu teringin untuk berkawan dengannya. Cahaya semakin berani menyampaikan hasrat-hasratnya untuk terus mengenali Bulan. Dan Bulan pula umpama mendapat gading bertuah, tidak melepaskan peluang yang ada. Maka Cahaya dan Bulan makin rapat di dalam ruangan itu.

Itu kisah di dalam ruangan yang mempertemukan Cahaya dan Bulan juga Bintang. Kemudian, Cahaya mula menarik Bulan keluar dari ruangan yang biasa, ke satu tempat yang lain. Hubungan Cahaya dan Bulan semakin kuat, banyak rahsia yang dikongsi bersama di antara Cahaya dan Bulan, malah Bintang tidak tahu sama sekali. Betapa percayanya Bulan kepada Cahaya. Sedikit demi sedikit Bulan sudah mula menanam perasaan suka pada Cahaya. Walau Bulan tahu yang Cahaya itu masih baru dalam dirinya, masih belum dikenali sepenuhnya, dan masih asing bagi diri Bulan.

Sehingga pada suatu hari, Cahaya menghubungi Bulan untuk perjumpaan kali pertama. Ya, bayangkan jika kita menyukai seseorang dan tiba-tiba orang itu mengajak kita untuk perjumpaan pertama! Eksaited! Itulah perasaan Bulan pada ketika itu. Di tengah malam, maka pertemuan buat kali pertama antara Cahaya dan Bulan berjalan begitu indah! Sehingga tiada kata-kata yang mampu diungkapkan oleh Bulan terhadap perasaannya terhadap Cahaya. Ya, Bulan sudah semakin menyukai Cahaya. Namum Cahaya seakan-akan tidak perasan aka perasaan Bulan.

Selepas pertemuan yang indah itu, Cahaya semakin hilang....hilang dari hidup Bulan. Namun mereka masih berhubung di dalam ruangan yang sama, ruangan di mana Cahaya, Bulan dan Bintang bertemu. Bintang pula masih sama, dengan kehidupannya bersama bintang-bintang yang lain. Dia tidak mahu mengganggu Cahaya dan Bulan kerana baginya, Bulan sudah di anggap seperti saudara kandung sendiri.

Bulan semakin resah, Cahaya semakin menjauh. Dari situ Bulan sedar yang dirinya bukan siapa-siapa. Cahaya tidak pernah menganggap dirinya sebagai seseorang yang istimewa. Salah Bulan, kerana dia tidak benar-benar mengenali Cahaya. Malah kehidupan Cahaya juga adalah sesuatu yang misteri bagi Bulan. Dia langsung tidak kenal dengan kehidupan sebenar Cahaya.

Sehingga, pada masa-masa tertentu Bulan sanggup memerhatikan kehidupan Cahaya dari jauh, di selidik segala ruangan dan mencari-cari petunjuk untuk memahami Cahaya. Dari situ, Bulan percaya yang Cahaya sudah memliki Matahari. Seseorang yang sangat bermakna dalam hidup Cahaya. Sehinggakan Bulan perasan tentang keterujaan Cahaya setiap kali melihat Cahaya dan Matahari berhubung di dalam ruangan mereka. Ya, Bulan masih memerhatikan Cahaya dan Matahari dari jauh.

Dari situ, Bulan mula sedih. Sedih kerana dia sedar yang dirinya tidak penting dalam kehidupan Cahaya. Bulan mengerti yang dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja. Cintanya terhadap cahaya tidak mungkin berbalas. Kesedihan bulan mengundang hujan di dalam hari-harinya. Kadang-kadang Bulan menganggap Cahaya hanya menginginkannya untuk masa-masa tertentu sahaja. Bulan merasakan yang dirinya dipergunakan, hanya untuk kepuasan Cahaya. Sedih dengan keadaan itu, Bulan semakin menjauhkan diri. Dia tidak mahu terikat dengan permainan Cahaya yang baginya, sudah tidak jujur lagi.

Cahaya ada kehidupannya yang terdahulu, sebelum Bulan mengenalinya. Mungkin bersama Matahari? Walau Bulan masih belum pasti akan perhubungan mereka. Namun penyesalan tetap ada dalam diri Bulan. Bulan mahu terus berdiam diri walau dari jauh, dia masih menyukai Cahaya.

Dan Bulan tahu, sebenarnya Cahaya dan Bintang juga pernah ada satu ikatan terdahulu daripada Bulan, cuma mereka tidak pernah mengaku di hadapan Bulan. Dan kini, hadir pulak Matahari, yang membuatkan Bulan semakin menjauh.
Bulan pasrah dengan perhubunganya dengan Cahaya. Sehingga kini, Bulan masih menjauh dan tidak mahu Cahaya menyedarinya. Biar Cahaya sendiri yang datang padanya kerana bagi Bulan, Cahaya patut tahu apa yang telah dilakukannya terhadap Bulan.

Bulan yang kesedihan... sehingga Cahaya tidak mampu untuk melindungi kegelapan di hati Bulan.

Begitulah kisah Bulan dan Cahaya..


Tamat.

Madah PuJanggel

Semua yang terlintas di fikiran, duluahkan di atas lembaran kata-kata bernama  Madah PuJanggel.  Walau tak sempurna, namun ianya cukup mengg...