Saturday 28 March 2020

Rasa Bahagia Itu Bila....

Rasa bahagia itu bila...

Kau tahu dia gembira
Kau sanggup berbuat apa saja untuknya
Kau seronok berada selalu dengannya
Kau terlalu risaukan kehidupannya
Kau tidak kisah bersusah payah hanya kerana dia
Dan sekilas dia tersenyum
Kau akan rasa kepuasannya...

Saat semua rasa itu datang,
Kau tahu yang kau punya rasa bahagia
Walau tidak memiliki dia.


Friday 27 March 2020

Kerana Corona

Kerana Kau, satu dunia merana.
Kerana Kau, hidup manusia tergendala.
Kerana Kau, ramai jasad kehilangan nyawa.
Kerana Kau, dunia terhenti seketika....
Walau Kau hadir sebagai musibah,
Namun Kau juga sebagai rahmat,
Untuk manusia beristigfar...
Dan merenung kehilafan mereka.
Sampai satu masa...
Kerana Kau Corona.

Covid19.

My Heart

Walau sekadar fiksi,
Namun rasa itu menggembirakan...
Kerana yang nyata belum tentu tiba.
Jadi, biarkan rasa ini melekat sampai bila-bila
Kerana dia sangat sempurna..
My heart...
I need one.

Rasa

Kalau dia ada...
KALAU

Thursday 26 March 2020

Malam Dan Bintang-Bintang

"Kenapa kau datang balik? Bukankah kau yang campakkan aku jauh jauh dari hidup kau?"

Soalan yang sama bermain dalam fikiranku. Buntu, namun tak terkeluar dari ruang rongga kotak suara ku untuk dilontarkan kepadanya.

Permainan apakah ini? Lagi soalan yang sama berulang. Tidak pernah jemu berputar-putar bila tiba masa permainannya. 

Sakit! Tahu tak bahawa hati ini sakit melihat engkau? Sakit dan semakin sakit kerana engkau langsung tidak merasakannya. Perasaan itu bukan milik engkau, tapi aku. Hanya aku yang berdiri di hadapanmu, di kiri dan kananmu, di belakangmu. Namun engkau langsung tidak menoleh, mahupun menegur bayang-bayang ku.

"Selama aku hidup, selama itulah aku mempertahankan keutuhan istana di dalam hatiku. Selama itu jugalah aku membina benteng-benteng untuk memagari keindahan hatiku. Tapi sekelip mata sahaja kesemua pertahanan itu runtuh, bila kau yang mengetuknya!!! Kau sedar tak akan perkara itu?"

Aku melangkah sepi, memerhatikan manik-manik cahaya di permukaan tasik yang terbentang luas di hadapanku. Laluan yang sukar untuk ke seberang sana, andai tiada penghubung di antaranya.

Aku memerhatikan pelayaran bot-bot yang sarat dengan penumpang. Riuh suasana di dalamnya tidak sunyi seperti apa yang aku alami tika ini. 

Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa menyapu mukaku. Hati makin terusik. Aku tahu, aku bukan siapa-siapa. Aku tahu, bukan hak aku untuk memaksa hati dan perasaan mu untuk menerima aku seadanya. 

Aku sekadar boneka. Iya itu pasti.

Lantas aku terduduk di gigi air. Menyaksikan percikannya memukul-mukul batu di tebing. Seakan ianya sedang memukul-mukul jiwa dan sanubari ku. Pedih.

Satu demi satu manusia melintasiku. Tanpa sedikitpun menoleh, masing-masing dengan dunia sendiri. Bahagia, mungkin. Yang pasti bukan sepertiku, yang sedang sakit dilanda rindu.

"Aku rindu kau la bodoh!!! Kau tak faham ke? Atau kau sendiri buat-buat tak faham?"

Susah untuk aku menganggap kau tidak wujud. Dan aku tidak kuat untuk melenyapkan engkau dari pengetahuanku. Tidak sanggup sama sekali. Sebab engkau telah merompak, menyiksa dan memusnahkan jiwaku. Dan kau tidak mengembalikannya seperti sediakala. Jadi, bagaimana harus aku melupakannmu? 

Hari kian kelam. Malam menampakkan tompokkan bintang-bintang di langit. Begitulah ibarat hatiku yang berkecai, bertaburan sekitar alam. Susah untuk aku kutip semula dan cantumkannya menjadi sebuah hati yang baru, sebuah hati yang mempunyai jiwa yang tenang tanpa kehadiranmu.

Yang pastinya, andai dapat hati itu di cantumkan semula, ianya sudah tidak sama seperti yang dulu. Cacat, cela dab tidak bermaya.

Aku teruskan penantian ini. Sehingga malam kian larut, yang aku pasti tak mungkin kau akan tiba-tiba muncul di hadapanku. Menyambut tanganku dan memimpinku untuk pulang... Tidak mungkin. Walau hanya dalam mimpi...

Biarlah aku di sini seketika, mengira butiran bintang yang bertaburan itu, seolah mengira kepingan hati-hatiku yang berkecai separuh nyawa.

Hanya aku yang tahu, tetapi tidak kamu. Dan tak mungkin aku akan memberitahu perihal hatiku pada kamu, kerana itu sesuatu yang mustahil. Kerana kau tidak pernah menganggap aku istimewa di dalam hidupmu.

Biarkan malam ini terus larut. Aku akan tetap di sini, sehingga ada yang sudi memanggilku pulang. 

Atau... Aku akan terus sendiri.


Tamat.

Kisah Cahaya Dan Bulan

Setelah sekian lama Bulan memerhatikan Cahaya, kadang-kadang mereka ada juga berinteraksi sesama mereka, tentang cerita biasa, tentang keinginan dan tentang persoalan yang sering diajukan oleh Cahaya di dalam ruangan hidupnya. Namun ianya masih biasa-biasa shaja, Bulan dengan bintang-bintangnya dan Cahaya dengan awan-gemawannya. Tiada apa yang luar biasa dan semuanya meneruskan kehiduapan yang sediaada begitu.

Sehingga muncullah Bintang (daripada ratusan bintang yang menjadi sahabat Bulan) yang telah mula menyatukan Cahaya dan Bulan di dalam ruangan yang sama. Dari situ, Bintang sering menghiburkan Bulan dan kadang-kadang Bintang juga memaksa Cahaya turut serta di dalam ruangan yang semakin besar untuk Bulan.

Bulan dan Bintang semakin rapat, tidak ada rahsia di antara mereka dan seringkali ruangan itu menjadi tempat untuk Bulan dan Bintang bermain. Namun makin hari semakin dekat Cahaya kepada Bulan. Cahaya semakin menyedari kewujudan bulan yang sedari dulu memujanya, sedari dulu teringin untuk berkawan dengannya. Cahaya semakin berani menyampaikan hasrat-hasratnya untuk terus mengenali Bulan. Dan Bulan pula umpama mendapat gading bertuah, tidak melepaskan peluang yang ada. Maka Cahaya dan Bulan makin rapat di dalam ruangan itu.

Itu kisah di dalam ruangan yang mempertemukan Cahaya dan Bulan juga Bintang. Kemudian, Cahaya mula menarik Bulan keluar dari ruangan yang biasa, ke satu tempat yang lain. Hubungan Cahaya dan Bulan semakin kuat, banyak rahsia yang dikongsi bersama di antara Cahaya dan Bulan, malah Bintang tidak tahu sama sekali. Betapa percayanya Bulan kepada Cahaya. Sedikit demi sedikit Bulan sudah mula menanam perasaan suka pada Cahaya. Walau Bulan tahu yang Cahaya itu masih baru dalam dirinya, masih belum dikenali sepenuhnya, dan masih asing bagi diri Bulan.

Sehingga pada suatu hari, Cahaya menghubungi Bulan untuk perjumpaan kali pertama. Ya, bayangkan jika kita menyukai seseorang dan tiba-tiba orang itu mengajak kita untuk perjumpaan pertama! Eksaited! Itulah perasaan Bulan pada ketika itu. Di tengah malam, maka pertemuan buat kali pertama antara Cahaya dan Bulan berjalan begitu indah! Sehingga tiada kata-kata yang mampu diungkapkan oleh Bulan terhadap perasaannya terhadap Cahaya. Ya, Bulan sudah semakin menyukai Cahaya. Namum Cahaya seakan-akan tidak perasan aka perasaan Bulan.

Selepas pertemuan yang indah itu, Cahaya semakin hilang....hilang dari hidup Bulan. Namun mereka masih berhubung di dalam ruangan yang sama, ruangan di mana Cahaya, Bulan dan Bintang bertemu. Bintang pula masih sama, dengan kehidupannya bersama bintang-bintang yang lain. Dia tidak mahu mengganggu Cahaya dan Bulan kerana baginya, Bulan sudah di anggap seperti saudara kandung sendiri.

Bulan semakin resah, Cahaya semakin menjauh. Dari situ Bulan sedar yang dirinya bukan siapa-siapa. Cahaya tidak pernah menganggap dirinya sebagai seseorang yang istimewa. Salah Bulan, kerana dia tidak benar-benar mengenali Cahaya. Malah kehidupan Cahaya juga adalah sesuatu yang misteri bagi Bulan. Dia langsung tidak kenal dengan kehidupan sebenar Cahaya.

Sehingga, pada masa-masa tertentu Bulan sanggup memerhatikan kehidupan Cahaya dari jauh, di selidik segala ruangan dan mencari-cari petunjuk untuk memahami Cahaya. Dari situ, Bulan percaya yang Cahaya sudah memliki Matahari. Seseorang yang sangat bermakna dalam hidup Cahaya. Sehinggakan Bulan perasan tentang keterujaan Cahaya setiap kali melihat Cahaya dan Matahari berhubung di dalam ruangan mereka. Ya, Bulan masih memerhatikan Cahaya dan Matahari dari jauh.

Dari situ, Bulan mula sedih. Sedih kerana dia sedar yang dirinya tidak penting dalam kehidupan Cahaya. Bulan mengerti yang dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja. Cintanya terhadap cahaya tidak mungkin berbalas. Kesedihan bulan mengundang hujan di dalam hari-harinya. Kadang-kadang Bulan menganggap Cahaya hanya menginginkannya untuk masa-masa tertentu sahaja. Bulan merasakan yang dirinya dipergunakan, hanya untuk kepuasan Cahaya. Sedih dengan keadaan itu, Bulan semakin menjauhkan diri. Dia tidak mahu terikat dengan permainan Cahaya yang baginya, sudah tidak jujur lagi.

Cahaya ada kehidupannya yang terdahulu, sebelum Bulan mengenalinya. Mungkin bersama Matahari? Walau Bulan masih belum pasti akan perhubungan mereka. Namun penyesalan tetap ada dalam diri Bulan. Bulan mahu terus berdiam diri walau dari jauh, dia masih menyukai Cahaya.

Dan Bulan tahu, sebenarnya Cahaya dan Bintang juga pernah ada satu ikatan terdahulu daripada Bulan, cuma mereka tidak pernah mengaku di hadapan Bulan. Dan kini, hadir pulak Matahari, yang membuatkan Bulan semakin menjauh.
Bulan pasrah dengan perhubunganya dengan Cahaya. Sehingga kini, Bulan masih menjauh dan tidak mahu Cahaya menyedarinya. Biar Cahaya sendiri yang datang padanya kerana bagi Bulan, Cahaya patut tahu apa yang telah dilakukannya terhadap Bulan.

Bulan yang kesedihan... sehingga Cahaya tidak mampu untuk melindungi kegelapan di hati Bulan.

Begitulah kisah Bulan dan Cahaya..


Tamat.

Sementara Masih Di Sini

Sejarah hidupku amat berliku
Kadangkala derita, kadangkala bahagia
Aku mengenang saat-saat aku mula berdikari
Menempuh ketentuan hidup
Dari sini aku mula menapak
Selangkah demi selangkah
Aku mengharungi warna-warni kehidupan
Sehingga aku menggapai tingginya awan

Terkadang terjatuh lalu tersangkut ke bukit namun aku belum sampai ke tanah
Semuanya bermula dari langkahku di sini

Jika dulu, aku tidak nampak keindahanmu
Walau yang lain memuja
Jika dulu, kau hanya biasa-biasa di mataku
Walau yang lain teruja
Tapi sementara aku masih di sini
Aku mula sedar tentang tempat ini

Tempat aku mengadu nasib dan berserah
Tanpa aku tahu kemana langkahku seterusnya
Tanpa aku sedar apa yang bakal menanti di hadapanku
Apabila aku harus meninggalkan tempat ini

Bersabarlah wahai hati
Ini semua telah tertulis untuk Dia mengujimu
Ini semua cara untuk Dia menyayangiku
Aku harus pasrah
Tidak semua harus jadi milik kita
Bukan semua yang kita inginkan bakal terjadi

Bila tiba saat itu, yakinlah yang aku tidak pasti bila lagi akan kembali
Kerana kehidupan ini walau hakikatnya ibarat roda
Berputar-putar untuk kembali ke asal
Ia tetap tidak akan sama dengan sebelumnya

Semoga yang terbaik tertulis untukku
Semoga segala pengorbanan ku selama ini berbaloi
Sehingga saat itu

Sementara aku masih di sini

Dia Yang Satu

Cinta ibarat lagu,
Jika liriknya indah, maka terkhayallah pendengarnya
Namun jika melodinya pincang, lirik yang indah itu tidak kemana...
Mengapa keduanya perlu sekata?
Kerana tiada apa yang mampu hidup dengan sendirinya

Hanya Dia yang satu

Keliru

Lontaran rasa hati, meronta minta bebas...lepas
Jeritan suara jiwa, membingit minta simpati... lemas
Kau keliru dengan diri, kau sangsi dengan perasaan... resah
Tak pejam mata bila tidur, tak lepas khayal bila jaga
Lenamu adalah jagamu...keliru
Sampai nanti ada yang bertanya, kenapa? 
Jiwa kacau, jawabmu pada mereka
Tenangkanlah, langit itu luas, begitu juga lautan
Jangan dibiar keduanya bergelora
Kelak pincang dunia, binasalah jiwa...

Tunduk

Hidupkan jiwa, selami apa adanya di dalam.
Tunduk, sujud pada Nya. Jangan ingkar perintah.
Supaya hidupmu tenang, ringan segala beban, terang segala kusut.
Syukur, jangan kufur nikmat.
Depakan tanganmu, sambut dengan keikhlasan jiwa yang kau hidupkan itu.
Untuk jalan-jalan yang terang, luas di hadapanmu

Tenang.

Sangkut

Burung-burung petualang langit
Terbang bebas menyebarkan resah
Di jiwa yang bergelora
Sangkut pada mata umpan, mengena
Satu per satu rebah ke tanah
Meronta-ronta untuk bebas, lepas
Namun kerna tiada daya
Burung-burung itu akur terkurung

Dalam sangkar masa...

Warkah Buat Nenek

Dalam kamar itu, dia merenung lesu ke luar jendela. Garis-garis uzur jelas kelihatan di wajahnya yang berusia. Entah apa yang difikirkan, entah apa yang dikenangkan. Tapi aku tahu, dirinya menelan rindu yang mendalam. Rindu pada kehidupan lalu yang penuh dengan warna-warni.

Ku dekati tubuh lesu itu, aku mencium tangannya dan dia menangis. Dia memelukku erat seolah dia akan kehilangan ku. Tapi aku pula merasakan seperti aku yang akan kehilangannya. Ya Allah baru aku sedar yang aku sangat merinduinya. Aku sangat mengabaikan wanita ini. Aku rindu saat kudratnya kuat menghambat kenakalanku. Aku rindu saat keringatnya menyalurkan rezeki ke tembolokku.

Ya Allah kau pinjamkan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan untuk dirinya. Aku masih belum puas untuk melihat dirinya bernafas di muka bumi.
Kau panjangkan umur wanita ini agar dia dapat melihat kebahagiaanku ya Allah.

Sesungguhnya aku masih rindu.
Nenek.


21 Disember 2013

Al fatihah untuk arwah Nenda...Hajah Siti Asiah Binti Zin (18 Disember 2018)

Kata Hati

Kata hati, kadangkala ada yang mengatakan bahawa kata hati itu sentiasanya betul, tak pernah silap. Malah ada yang berbangga dengan kata hati mereka. Tapi persoalannya, adakah semua kata hati itu boleh dipercayaai? Ia ibarat samada kita mempercayai diri kita sendiri atau sebaliknya. Sebenarnya kata hati itu adalah diri kita sendiri!

Jadi perlukah kita mempercayainya seratus peratus? Satu persoalan yang bagi aku agak sukar untuk dijawab. Kadangkala aku selalu juga mengikut kata hati sendiri. Hasilnya ada yang tepat dan pernah juga tersasar. Sehingga aku pernah mengikut kata hati lantas menerima impak negatif terbesar dalam hidup. Maka bagi aku bukan semua kata hati kita itu lengkap. Ia perlu diadili dengan sedalam-dalamnya. Jika kita tersilap menerima isyarat dari kata hati kita, nescaya kita akan menyesal.

Apa yang penting buka minda dan banyakkan memuhasabah diri. Kadang-kadang ianya akan datang dengan sendiri. Kata hati yang penuh dengan keyakinan. Maka bertuahlah sesiapa yang memilikinya. Untuk aku, aku sering was-was dengan kata hati aku. Ye, maksudnya aku tidak yakin dengan keberadaanku. Jadi bagaimana untuk mempertingkatkan keyakinan itu?

Aku percaya yang aku semakin baik di dalam memuhasabah diri. Daripada kosong kepada sesuatu yang berisi. Sekurang-kurangnya aku nampak perubahan dalam diri aku. InsyaAllah aku mahukan yang terbaik untuk mengemudi hidup. Semoga aku dibukakan pintu yang lebih luas agar dapat menyelami kata-kata hati yang pelbagai.

Akhirnya, kata hati akan tetap menjadi pilihan di dalam membuat sesuatu keputusan. Itu adalah pasti.


26 Oktober 2013

Terima Kasih Untuk Kehidupanku

Alhamdulillah. Bersyukur. Itu satu perkataan yang bagi aku sangat utuh maknanya bagi memanjatkan rasa penghargaan dan terima kasih ku kepada Sang Pencipta. Di atas kurnianya terhadap hari-hari yang penuh keberkatan, halangan, dugaan dan keceriaan sehingga menjadikan diri aku seperti aku yang ada kini.

Syukur, KAU tidak melemahkanku, KAU tidak membenarkan aku putus harapan dan KAU menjadikan hari-hari aku sehingga ke hari ini semakin indah dan bermakna. Walau aku masih terus mencari matlamat dalam kehidupan, namun diantara waktu pencarian itu aku dipertemukan dengan sinar cahaya dan pengharapan.

Terima kasih.

Bukan semua yang dirancang itu menjadi tetapi bukan semua juga yang tak dirancang itu tidak hadir. Permudahkanlah perjalan hidupku sehingga ke penghujungnya, dan janganlah KAU menghadirkan dinding-dinding rentas yang terlalu tinggi sehingga aku tidak mampu untuk menggapai ke seberang.

Terima kasih.

Selalu hadir di sisiku walau aku yang selalu melupakanmu. Aku khilaf dan masih terus khilaf namun KAU masih setia menunjukkan jalan yang terang di hadapanku. Sesungguhnya aku masih mencari pengenalan diri dalam keredhaanMU.

Terima kasih.

Kerana tidak pernah melupakanku.
Kerana tidak pernah berhenti mengujiku.
Kerana tidak lupa memberikan kebahagiaan kepadaku.
Kerana tidak kejam terhadap kehidupanku.
Sesungguhnya aku bersyukur walau kejahilanku terus berlarutan.
Teruslah melindungiku, sehingga aku sedar akan kebesaranMU.

Terima kasih kerana tidak membenarkan aku terus jahil di sisiMU.

Tentang Rasa

Dia memerhatikan setiap kejadian di hadapannya dengan penuh tenang, setenang air yang mengalir merentas tujuh muara tapi belum sampai ke laut. Kehidupannya yang terumbang ambing, kadang-kadang sunyi, ibarat berada di ruang angkasa yang luas tidak berpenghuni. Adakala riuh rendah, ibarat berada di pasar besar Selayang, sana-sini para peniaga berlaungan mencari pembeli. 

Sampai bila hidup yang terumbang ambing ini akan terus berputar? Semalam akan kekal jadi semalam, dan tidak mungkin ianya akan kembali pada titik yang sama. Saat dia dan mereka sama-sama mengatur hidup, saling berpaut antara satu sama yang lain, susah senang bersama, tapi yang pergi tetap akan pergi. Terpulanglah pada yang tinggal ini untuk mengenang, mengingat, berfikir semua kisah itu. 

Dia pernah rasa bahagia.
Dia pernah rasa derita.
Jiwanya kosong, pernah terisi.
Hidupnya kadang-kadang tenang,
Kadang-kadang celaru.
Kisahnya panjang, berliku.
Hanya sekali-sekala laluannya lurus,
Kemudian semakin sempit.
Sampai satu masa, dia sudah tidak peduli tentang rasa orang lain,
Hanya memikirkan rasa sendiri.
Tapi dek kerana hatinya rapuh, rasa terhadap diri sendiri dibiarkan mati.
Dia pernah rasa dikasihi.
Dia juga pernah mengasihi.
Semua yang pernah itu semalam,
Dan semua yang belum pernah itu akan datang.
Yakinkah yang pernah itu akan kembali?
Dan yakinkah yang belum pernah itu akan muncul?
Semua dengan izin Nya.

Saturday 7 March 2020

Suka Datang Sayang Jadi Cinta

Rasa suka itu datang, bila kau tersenyum sendiri
Walau dalam hati...
Bila kau tahu yang kau senang dengannya
Dan kau sedar yang kau akan tersenyum bila berfikir tentangnya.
Sehingga dia bermain-main di minda
Tentang senyumannya, tentang tingkahnya...tentang segalanya...
Dan kau terasa seakan mahu memeluknya, menyentuhnya setiap masa
Itulah namanya kau dah suka dia....
Dan jika ia berterusan dan dia selesa, maka
Mungkin akan timbul rasa sayang....dan CINTA.
Perjalanan yang kau dan dia corakkan sendiri.

Wednesday 26 February 2020

Rindu Yang Tak Tertanggung

Patutkah kita leka pada rindu yang tak tertanggung?
Bila masa semakin jauh
Bila hati semakin kecil dan kian menyepi
Rindu tetap rindu 
Namun ungkapan itu sukar untuk diluahkan
Terpendam dalam hati yang semakin kecil itu
Harus bagaimana?


Monday 10 February 2020

Jodoh Kau Di Mana?

Bukan Jodoh
Bukan memilih tapi berhati-hati
Jika dia, maka dia lah...
Jika bukan, teruskanlah mencari
Yang terbaik di mata mereka
Tak semestinya terbaik di mata kita
Tiada yang sempurna
Sampai jumpa
Entah bila.

Tuesday 28 January 2020

Pesan Orang Tua-Tua

Pesan orang tua-tua
Hormatilah orang tua-tua
Kerana orang tua-tua banyak asam garamnya
Kerana orang tua-tua hidup lebih lama
Jadi hormatilah orang tua-tua
Jika sesuatu yang kita tidak suka tentang orang tua-tua, bagaimana?
Perlu terus hormat?
Hormat itu pelbagai caranya
Jangan jadi jelik
Jangan jadi bimbo
Tegurlah tanpa hilang rasa hormat

Monday 27 January 2020

Bila Hati Berlagu

Dengarkan lagu dari hati ini
Yang beralun-alun mengikut hembusan angin
Sekali sekala notanya berubah tinggi
Tanda amarah yang bersungguh
Dan sekali sekala nota itu mengalir indah
Mendayu mengikut perasaan yang bergelora
Kisah hati
Kisah jiwa
Kisah rasa
 Kisah cinta
Antara manusia, pencipta dan alam semesta
Hanya dengan satu lagu
Pelbagai rasa itu ada

Lagu cinta, lagu jiwa, lagu rasa
Wakil hati yang terus menerus berbicara

Tinggalkan Semua Kisah Sedih Semalam

Tinggalkan semua yang memedihkan
Lemparkan ke dasar lautan biar lemas, dan hanyut ke tengah
Tanpa sempat terdampar di daratan
Tinggalkan
Jangan pernah kenang
Jangan pernah ulang
Kumpulkan semula kisah-kisah gembira
Dari pukulan ombak-ombak di pantai
Di atas pasir yang memutih, berkilau bak permata
Jangan pernah ulang
Jangan pernah kenang
Kisah-kisah pedih semalam 

Saturday 25 January 2020

Melambung Tinggi

Melambung lambung ke destinasi
Jumpa shark whales puas hati
Balik ke hotel melambung lambung lagi
Tobat dah aku tak nak pergi lagi...

Aku Rindu

Aku rindu ... ‘kita yang dulu’
Kita yang tidak berselindung 
Kita yang saling terbuka
Kita yang tidak menghukum
Kita yang saling menjaga dan setia
Aku rindu pada ‘kita’
Pabila kini, ‘kita’ menjadi ‘aku’
... Hanya ‘aku’ tanpa ‘kamu’
Sendiri dalam perjalananku

‘Kita’ tetap ada pada aku
walau ‘kamu’ tidak tahu.

Rumahku Syurgaku

Tempat berteduh itu seharusnya mewakili jiwamu
Biar tenang, damai dan mampu meredakan lelah
Bukannya tempat, bilamana kau datang
Rasa tenang itu hilang, serabut bertambah-tambah.
Rumahmu ... syurgamu. 

Ren

Riwayat Penumpang Udara

Bila kita di atas awan
Berlapis-lapis menutup kehijauan bumi, kebiruan lautan
Putih bak kapas tersusun
Kita menanti dan terus menanti
Saat awan itu pergi 
Membuka semula pandangan
Pada keindahan daratan dan lautan
Tanda kita hampir tiba ke destinasi
Untuk meneruskan apa yang di rancang
Sehingga tiba saat untuk pulang
Dan kita menggapai semula awan
Riwayat penumpang udara.

Ren

Wednesday 22 January 2020

Demi Masa

Demi masa,
Kita dikejar hari yang semakin singkat
Entah esok, lusa atau bila-bila, pergi itu pasti
Cuma caranya mungkin berbeza
Peringatan untuk kita semua
Hargai apa yang ada di depan mata
Kerana ianya boleh pergi bila-bila masa.

Alfatihah untuk yang sudah tiada.

Thursday 16 January 2020

Hidup Penuh Soalan

Bila kau melata di muka bumi,
Meredah hutan belukar,
Merentas tasik dan sungai,
Mendaki gunung, menurun lembah...
Apa yang kau lihat?
Apa yang kau dengar?
Apa yang kau rasa?
Dan apa yang kau fikirkan?
Semuanya menjadi satu di akal fikiran
Pelbagai tafsiran dan andaian
Yang menjadikan kau semakin matang
Dalam membuat keputusan.

Ren

Monday 13 January 2020

Iman

Setiap manusia ada ujiannya, cuma tahapnya berbeza-beza.
Kau diuji dengan kekayaan, jangan alpa.
Kau diuji dengan kesusahan, jangan kalah.
Kau diuji dengan kesakitan, jangan lemah.
Kau diuji dengan kematian, jangan hilang arah.
Dan pelbagai lagi ujian, demi ujian dalam kehidupan.
Sebabnya hanya satu, tanda kasih Dia pada kamu.
Tanda Dia memerhatikan kamu.
Tanda Dia ingatkan kamu.
Tanda Dia menjaga kehidupanmu.
Dia tahu mengapa kamu diuji.
Iman.

Ren


Aku Rindu Kau Lah Bodoh!!!

Rindu itu dibawa angin
Sekejap kuat sekejap lemah
Bila hembusannya tersentuh di muka...merinding terasa.
Sekelip mata, namanya bermain di kepala.

Bila hembusan itu kembali perlahan,
Maka rindu itu pun tersimpan
Bersama hati yang kejung
Ego yang tak terbendung

Sampai bila?

Sunday 5 January 2020

Ego

Kenangan itu sesuatu yang mahal,
Bukan untuk dijual, bukan juga untuk digadai
Ianya untuk disimpan dan dikenang
Biar menjadi panduan dalam kehidupan

Kenangan aku dengan kamu, kita bersaudara sampai bila-bila
Meski jarak itu semakin jauh
Dinding itu semakin tebal
Jurang itu semakin dalam

Dek kerana Ego, masing-masing diam.

Ren.

Thursday 2 January 2020

Dulu Kita Pernah Kata

Dulu kita pernah kata, hidup mati sama-sama
Dulu kita pernah kata, kita jangan pernah lupa
Dulu kita pernah kata, kita akan ada selamanya...

Tapi... aku lupa, kita pernah kata semua itu
Sebab hati ini selalu tertipu...
Maaf, ia perlu masa untuk sembuh.

Ren
2020

Madah PuJanggel

Semua yang terlintas di fikiran, duluahkan di atas lembaran kata-kata bernama  Madah PuJanggel.  Walau tak sempurna, namun ianya cukup mengg...