Thursday 26 March 2020

Terima Kasih Untuk Kehidupanku

Alhamdulillah. Bersyukur. Itu satu perkataan yang bagi aku sangat utuh maknanya bagi memanjatkan rasa penghargaan dan terima kasih ku kepada Sang Pencipta. Di atas kurnianya terhadap hari-hari yang penuh keberkatan, halangan, dugaan dan keceriaan sehingga menjadikan diri aku seperti aku yang ada kini.

Syukur, KAU tidak melemahkanku, KAU tidak membenarkan aku putus harapan dan KAU menjadikan hari-hari aku sehingga ke hari ini semakin indah dan bermakna. Walau aku masih terus mencari matlamat dalam kehidupan, namun diantara waktu pencarian itu aku dipertemukan dengan sinar cahaya dan pengharapan.

Terima kasih.

Bukan semua yang dirancang itu menjadi tetapi bukan semua juga yang tak dirancang itu tidak hadir. Permudahkanlah perjalan hidupku sehingga ke penghujungnya, dan janganlah KAU menghadirkan dinding-dinding rentas yang terlalu tinggi sehingga aku tidak mampu untuk menggapai ke seberang.

Terima kasih.

Selalu hadir di sisiku walau aku yang selalu melupakanmu. Aku khilaf dan masih terus khilaf namun KAU masih setia menunjukkan jalan yang terang di hadapanku. Sesungguhnya aku masih mencari pengenalan diri dalam keredhaanMU.

Terima kasih.

Kerana tidak pernah melupakanku.
Kerana tidak pernah berhenti mengujiku.
Kerana tidak lupa memberikan kebahagiaan kepadaku.
Kerana tidak kejam terhadap kehidupanku.
Sesungguhnya aku bersyukur walau kejahilanku terus berlarutan.
Teruslah melindungiku, sehingga aku sedar akan kebesaranMU.

Terima kasih kerana tidak membenarkan aku terus jahil di sisiMU.

No comments:

Post a Comment

Madah PuJanggel

Semua yang terlintas di fikiran, duluahkan di atas lembaran kata-kata bernama  Madah PuJanggel.  Walau tak sempurna, namun ianya cukup mengg...