Monday 7 September 2015

Jaga Aibmu

Jaga aibmu
Sebagaimana kau menjaga aib ibu bapamu
Sebagaimana kau menjaga aib sahabat-sahabatmu
Sebagaimana kau menjaga aib guru-guru mu
Sebagaimana kau menjaga aib insan-insan yang pernah kau kenali, kau sayangi, kau sanjungi
Walau kini aku, kau, mereka, kita... saling membenci
Kekallah menjaga aibnya
Biar pincang dunia, berantak segala duka
Namun itu bukan hak mu untuk membuka aib manusia
Hanya DIA yang berhak menghukum hamba-hambanya.


Wednesday 2 September 2015

Penuh Padi Menunduk

Kalau padi itu masak, pohonnya semakin menunduk
Beralun-alun ditiup angin, semakin berat, semakin berayun
Tanda isinya sudah tersedia untuk dituai.

Jangan jadi lalang yang makin ditiup semakin longlai,
Terhoyong hayang tanpa arah
Hasil tiada, malah terhiris jari boleh luka.

Hidup kena belen (baca: balance),
Jangan lebih, jangan kurang
Kerana yang lebih bukan milik kita,
Dan yang kurang juga tanda kita belum cukup usaha.

Ren.

Monday 24 August 2015

Bila Babi Katakan Babi

Bila babi katakan babi
Jangan dituduh lembu sapi
Hilang maksud berubah erti
Porak peranda hidup sendiri

Ikatan tanpa percaya
Ibarat pisau menikam dada...

Ren.

Thursday 9 July 2015

Tidak Pernah Lupa

Semalam akan kekal jadi semalam
Bila apa yang berlaku ditinggalkan bersama masa
Berlalu tanpa makna...
Dengarkan bunyi itu
Guruh di langit
Semakin lama semakin bingit
Menghentak-hentak ruang hatimu yang kian sunyi
Menggantikan kesedihanmu dengan titis-titis hujan
Semakin lama semakin berat
Basah pipimu yang tidak pernah kering
Sampai bila? Entah

Kau tahu DIA mendengar rintihanmu
Kau tahu DIA melihat kesedihanmu
Kau tahu DIA merasai ketakutanmu
Sehingga suatu masa
Dia akan menggantikannya dengan cahaya
Terang lalu mengeringkan kebasahan
Menghilangkan kesedihan
Menyinarkan kekuatan

Kau cuma perlu sabar
Kerana DIA tidak pernah lupa
Untuk menggembirakan hamba-hambanya.

Ren

Logik

Cuba lihat di sekeliling kamu
Adakah yang lebih teruk dari apa yang kamu rasa?
Jika ada, bersyukurlah
Kerana DIA masih meletakkan kamu dalam perhatiannya...

Ren

Jangan Berhenti

Tidak akan sedar seorang manusia itu
Selagi dirinya tidak diuji
Sekuat manapun dia
Sesekali dia akan jatuh terjelepuk
Kerana kesakitan yang tidak tertanggung...

Dan bila masa itu tiba
Bangkitlah semula, lihat ke langit
Pada kepul-kepul awan yang tergantung
Adakah ia akan runtuh?

Lihatlah pada kerdip-kerdip bintang yang tertabur
Adakah ia akan luruh?
Semuanya masih kekal sama
Selagi DIA tidak memberi izin

Dan janganlah kau berhenti berharap
Kerana perhatianNYA akan tetap tertumpu
Pada kamu setiap masa.

Ren.
9 Julai 2015

Wednesday 8 July 2015

Rindu

Kita memandang matahari yang sama
Cuma masanya sedikit berbeza
Dan bila cahayanya kian hilang
Maka kita tahu, rindu itu akan datang...


Monday 6 July 2015

Ia Rapuh

Kerana sebuah hati itu terlalu rapuh untuk diketuk
Maka belailah ia
Tidak ada manusia yang kuat bila sesekali diuji..

Ren

Thursday 2 July 2015

Pancaindera

Kadangkala, apa yang terbentang di depan mata
Walau seindah mana sekalipun
Jika tidak dilihat dengan mata dan jiwa
Ianya kosong...
Mata memandang tetapi buta
Telinga mendengar tetapi tuli
Mulut menjerit tetapi bisu
Kerana hati dan jiwanya tenggelam di dalam permainan dunia.

Ren.

Pelakon Dunia

Dalam sebuah cerita, ada pelbagai watak
Terpulang bagaimana kita melakonkannya
Samada secara spontan atau mengikut kehendak skrip
Kedua-duanya ada hasil yang berbeza
Samada baik atau buruk
Samada mampu memuaskan penonton atau sekadar memuaskan diri sendiri
Itu semua bakat.

Ren.

Tuesday 30 June 2015

Kun Faya Kun

Kalau hendak seribu daya
Kalau tak ingin seribu dalih
Selangkah kau di hadapan
Tapak kakimu masih berbekas di belakang
Terpulang kepada yang melihatnya
Samada mahu mengikut jejak kesan tapakmu
atau memadam kesan itu
Masing-masing terletak pada niat dan matlamat
Kalau DIA kata jadi, maka jadilah.

Ren

Monday 29 June 2015

Tak Salah Jadi Berbeza

Bila orang berdiri, kau duduk
Bersila ibarat panglima menghadap Raja
Bila orang berbual, kau ketawa
Berdekah umpama dunia kau yang punya
Bila orang tidur, kau berjaga
Ke sana ke mari bagaikan malam tak pernah tiba

Tak salah jadi berbeza, asal kau tak lupa DIA.

Ren.

Untuk Jiwa Yang Lebih Tenteram

Ini yang dinamakan takdir
Bila hati rasa berat untuk menerima
Bila mulut rasa berat untuk berbicara
Bila mata rasa berat untuk melihat
Bila telinga rasa berat untuk mendengar
Itu tanda yang jiwa dan rasa mu telah tiada
Hanyut dengan perasaan yang kelam
Perasaan yang telah berkubur, mati
Maka lepaskanlah
Biarkan perasaan itu pergi
Untuk jiwa yang lebih tenteram.

Ren

Monday 15 June 2015

Happy Friendship Day!

Cukuplah saya dengan kawan-kawan yang ada di sekeliling
Kawan-kawan yang dah kenal saya sejak berbelas tahun yang lalu
Kawan-kawan yang faham apa yang saya buat...

Saya tak perlukan kawan yang fake, yang bermuka-muka dan yang mengambil kesempatan
Itu semua bukan keperluan bagi saya sekarang ini.
Kehendak jauh sekali.

Biar orang cakap, kawan tak ramai, asyik dengan circle yang sama je. Takpe asalkan kita tak menyakiti orang lain dan tak perlu bermuka-muka untuk mendapatkan perhatian orang lain.

I love all my friends!!! Walaupun ianya boleh dibilang dengan jari. You know who you are.

Happy friendship day!

Friday 22 May 2015

Tahi

Lumrah manusia, suka yang baru lupa yang lama
Bila susah baru tunjuk muka
Masa senang semua kawan dilupa
Hidup bagai parasit
Melekat pada yang menarik
Menghilang bagai pelesit
Laju, hilang, lari...

Tak semua, segelintir sahaja
Tapi bila terpalit tahi di baju
Sekampung kau hidu baunya.

Ren.

Monday 11 May 2015

Membunuh Masa

Menunggu, helai demi helai diselak
Baris demi baris dibaca
Sampai hujung cerita
Gembira atau sebaliknya?
Masih tanda tanya

Sebuah buku dan secawan kopi.

Wednesday 29 April 2015

Anugerah

Selagi boleh senyum, kita senyum
Selagi boleh ketawa, kita ketawa
Selagi boleh gembira, kita gembira

Entah bila nikmat itu akan ditarik?
Bila tiba masanya, kita akan mula rindu
Tak semua orang boleh rasa...

Ren

Saturday 18 April 2015

Janji

Orang kenal memang ramai, sua muka say 'hi'
Sana-sini suka-suka, lepak-lepak tak ingat dunia
Masa senang, masa gembira muncul tak kira masa

Datang kelam, gelap, semua hilang
Dari say 'hi' jadi say 'bye bye'
Susah sorang-sorang, senang ramai-ramai
Biasalah, dah tau masing-masing punya perangai
Ada yang bila jumpa, buat-buat tak kenal
Hahaha drama dunia
Nak cari yang setia memang tak ramai

Bersyukurlah sebab kamu, kamu dan kamu tak ubah perangai
Susah senang, masih lagi boleh pakai
InsyaAllah kita setia sampai meninggal.

Janji.

Monday 13 April 2015

Tunduk

Kau takkan pernah bersyukur selagi kau tidak diuji
Kau takkan pernah rasa menyesal selagi kau tidak kehilangan
Kau takkan pernah rasa sedih selagi kau tak derita
Sekali sekala pandanglah ke belakang
Jenguk-jenguk orang yang tertinggal.

Saturday 11 April 2015

Tekad

Selangkah demi selangkah kau ingin berubah
Dengan kekuatan yang kau kumpul
Kudratmu makin bertambah
Sehingga kau tiba ke penghujungnya
Asal ada tekad dan tawakal
Jangan mudah mengalah

Ren

Wednesday 8 April 2015

Tafakur Sejenak

Tak larat, bukan masa untuk mengejar
Cuba diam dan nikmati hidup yang singkat
Hargai apa yang Dia beri seadanya...


REN

Tuesday 7 April 2015

Maaf Aku Penat

Sedikit alpa, lupa pada apa yang kau ada untuk mengejar yang tak pasti
Sehingga menjadikan kau hilang kebanyakan masa lalu mu
Sehingga menyebabkan kau rindu pada apa yang kau pernah ada
Tak larat...
Maaf aku penat.

Monday 6 April 2015

Hanya Dengan Izin

Bila kita selalu mencuba untuk menjadi yang terbaik
Mencuba dan terus mencuba sehingga kita lupa
Kita selalunya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak
Dan kita juga selalu lupa, kehidupan itu paksinya satu
Biar ia berputar mengikut paksinya
Di atas dan di bawah, sentiasa bersilih ganti
Teruskan mencuba, walau rasa putus asa itu datang
Teruskanlah...walau kau tahu apa yang kau cari itu
Belum tentu akan kau temui
Hanya dengan izin...

Thursday 2 April 2015

Awan

Kisahnya, bila kau berada tinggi di langit
Melihat tompok-tompok awan pelbagai tona
Ada yang putih bersih umpama kapas
Ada yang hitam gelap umpama baldu
Ada yang tebal, bergegar pesawat bila lalu
Ada yang nipis, telus ibarat kain satin bersinar di angin lalu

Kata DIA, rezeki paling luas ada di langit
Ya...kata DIA

Tafsiranku, walau awan itu satu namun tetap pelbagai bentuknya
Pelbagai tonanya
Dan pelbagai fungsinya
Terpulang pada manusia untuk merungkai rahsianya.

Pesawat

Kau melihat sebuah pesawat, besar
Bagaimana jentera sebesar itu boleh terbang tinggi?
Melayang bak kertas di angkasa?
Bijaksananya manusia atas kurniaanNya

Sehingga kau di dalamnya, meredah awan
Baru kau sedar yang sebenarnya pesawat itu kecil
Ibarat tompokan dakwat di lautan
Tidak terjejas putaran alam
Bukti DIA lebih berkuasa
Dan kita hanya selemah-lemah manusia.

Thursday 19 March 2015

Permulaan Baru

Hello Readers!

Ini merupakan percubaan pertama saya untuk meletakkan hasil penulisan (yang entah ke berapa) di media sosial. Sebelum ni rasa macam tulis-tulis-tulis dan peram, tak pernah tunjuk atau bagitahu pada sesiapa pun. But this time i have courage to put it here so that people can read and give comments as well. 

So I do hope peoples can give good comments to this article.... semoga mana-mana lompong tu boleh diperbaiki dan dijadikan panduan penulisan untuk masa hadapan.

Till then, SELAMAT MEMBACA!

Friday 6 March 2015

Bila Rasa Itu Datang

Kesunyian itu ibarat hembusan bayu, sepoi-sepoi hinggap ke muka lalu membayangkan segala yang kau pernah alami, rasai dan kau rindui.

Biar hidup diuji asal jangan dikeji.

Thursday 5 March 2015

Sembunyi

Dalam mengatur langkah yang hampir tersungkur, 
kadangkala kita terlupa bahawa masih ada tangan yang dihulur untuk kita terus melangkah. Biar lemah, namum masih terus bergerak menuju hadapan. Jangan sekali pun mengalah dengan takdir kerana takdir itu ujian yang diutus oleh-Nya sebagai tanda kasih, tanda Dia memilih kita atas sayangNya.

Friday 20 February 2015

Rezeki

Rezeki datang dalam pelbagai rupa. Ada orang, rezekinya melimpah ruah dengan kemewahan harta, ada orang rezekinya pula dengan bilangan anak yang ramai, ada orang rezekinya hidup meneroka dunia... Dan bermacam lagi. Itu cara DIA. Cara kita pula bagaimana? Syukur.

Luahkan

Cahaya yang terlindung di sebalik awan, umpama hati dan perasaan yang tak terluahkan. Di luar nampak tenang namun di dalamnya bergelora. 

Tuesday 17 February 2015

Curang

Kadangkala kita inginkan ruang untuk mengenal diri, memperbaiki lompong-lompong yang ditinggalkan masa. Cuma tidak semua mengerti tentang keinginan itu, sehingga memaksa kita curang pada diri sendiri.

Monday 16 February 2015

Gayat

Yang di atas, bilila rajin tunduk ke bumi, rasa gayat itu akan hilang.

Sunday 15 February 2015

Permainan Manusia

Kadang-kadang menjadikan orang lain sebagai permainan itu lagi indah daripada  mempermainkan diri sendiri.

Biasa bagi manusia masa kini. 

Friday 13 February 2015

Hamba Dunia

Dalam sebuah kehidupan, manusia menjadi hamba kepada dunia. Mengejar sesuatu yang tak pasti sehingga mengabaikan tuntutan hidup. Diri ibarat pasir, kerdil dan tidak mampu melawan besarnya lautan. Sekali disimbah ombak, terkapai-kapailah ia... Hanyut tanpa sebarang arah. Rapuh, patah, hancur... Demi memuaskan hati anjing-anjing durjana yang sekadar hidup untuk memenuhkan tembolok sendiri.

Bagaimana untuk redho, jika itu bermaksud aku membenarkan apa yang salah? Bagaimana untuk pasrah, jika kehidupan ini dicabul tanpa maruah.

Segala-galanya datang dari DIA. Sesungguhnya, anjing dan tikus selalunya tak akan bersama.

Wednesday 11 February 2015

Butiran Pasir

Ku susun butir-butir pasir menjadi istana, dengan angan yang menggunung. Memeluk mimpi yang indah di sehingga terbit mentari pagi. Namun istana hancur di pukul badai, mimpi tidak lama kerana sinar mentari kian meninggi.

Monday 9 February 2015

Masa

Masa tidak pernah takut untuk meninggalkan kita, sekali lalu kita sudah berada di belakang dan tidak dapat mengejarnya. Namun, itu tidak bermakna kita tewas oleh masa, selagi kita bijak menggunakannya, menilai setiap detik, memenuhi setiap ruang dengan sinar-sinar harapan, selagi itu kita dan masa boleh sama-sama seiring mengatur hidup di hadapan. 

Terbang Tinggi

Terbang tinggi di antara awan berlapis 
Membawa bersama harapan, pelbagai jiwa
Kisah pengembara masa, merenung dari ruang kecil
Melihat kerdilnya diri dibatasi angkasa 
Sekali nyawa ditaruhkan 
Hanya pada Dia, pergi dan kembalinya.

Saturday 7 February 2015

Gambaran Hidup

Aku melihat setiap gambar dengan cara yang berbeza, ada pahit manisnya. Terpulang pada tafsiran. Sekali-sekala hasilnya hanya cantik pada pandangan kita sendiri. Tak semua yang kita suka, orang lain juga akan suka. Dan tak semua yang orang suka, kita juga akan suka.

Dalam setiap gambar ada 'gula' nya. Tafsiran untuk orang-orang macam kita.

Thursday 5 February 2015

Prima Facie

Harini aku belajar.

Bila hakim telah menjatuhkan hukum, biar sebijak mana sekalipun kau membela tapi jika hujah yang diberi tanpa cukup bukti ternyata usaha kamu itu sia -sia.

Kau bukalah kitab setebal langit, kau selongkarlah bukti selebar bumi.

Prima facie... 

Monday 2 February 2015

Bulan Dan Bintang-Bintang

Pernah suatu hari aku berbisik pada bulan dan bintang, perihal hati dan perasaan.

Akan adakah yang manis dalam hidupku  selepas peristiwa-peristiwa pahit datang silih berganti? Resah.

Namun bulan dan bintang-bintang itu diam, tidak berbicara. Mereka masih terus bersinar di dalam kepekatan malam. Memancarkan kerdipan-kerdipan yang mempersonakan. Yang mampu mencairkan hati dan perasaan manusia.

Dari situ aku mula sedar. Bulan dan bintang-bintang itu sedang menjawab persoalanku.

Sinaran mereka adalah jawapannya. Segelap mana kehidupanmu, bersinarlah, kerana cahaya sinaranmu mampu untuk mempersonakan sesiapa yang memandangnya.

Dan pabila mereka gembira dengan sinaranmu, nescaya kamu juga akan turut bahagia.

Friday 16 January 2015

Tiang-Tiang

Dalam sebuah perjalanan, akan ada tiang-tiang yang menjadi persinggahan lelah. Bezanya, antara tiang-tiang itu, akan ada tersembunyi pelbagai niat dari hati manusia yang pelbagai.

Monday 12 January 2015

Futrah Manusia

Pendakian, jika lelah berhentilah
Tiada paksaan pada diri, rela
Matlamat jauh di puncak
Walau lambat, ke sana juga tibanya
Asal arah tidak terpesong, lurus
Kau bukan robot, kau bukan malaikat,
kau bukan luar biasa
Kau adalah manusia, punya akal
Letaknya tinggi, berbalut rangka
Terpelihara.
Bezanya kau dan dia? Sama tapi tak serupa.


Saturday 10 January 2015

Resah

Resah, kadangkala ia datang tanpa punca
Tertanya-tanya diri seakan luasnya lautan, berombak deras,
Seakan tingginya gunung, bergegar bumi.
Seakan tidur di lapik batu, makan berlauk duri.
Keresahan yang sentiasa menjerut diri untuk menjadi lalai
Dan ketika itu, bersujudlah. 
Agar ketenangan meranapkan segala yang resah.
Kerana DIA selalu ada. 

Madah PuJanggel

Semua yang terlintas di fikiran, duluahkan di atas lembaran kata-kata bernama  Madah PuJanggel.  Walau tak sempurna, namun ianya cukup mengg...